REMAJA lelaki berusia 15 tahun itu kelihatan gementar kerana dia bakal menjalani ritual menyakitkan selama 11 jam.
Dia perlu memasukkan tangan ke dalam ‘sarung tangan’ diperbuat daripada anyaman daun yang diisi dengan ratusan semut peluru (bullet ant).
Suku Orang Asli Satere-Mawe yang mendiami hutan Amazon, Brazil percaya untuk menjadi lelaki dewasa, seseorang remaja perlu melalui satu ujian turun-temurun itu.
Hanya setelah melalui ritual itu barulah mereka dibolehkan berkahwin atau membina keluarga.
Semut peluru dikatakan mempunyai sengatan yang menyebabkan kesakitan 30 kali ganda daripada sengatan lebah.
Apabila terkena sengatan semut peluru itu akan menyebabkan rasa sakit sehingga 24 jam.Kesan gigitan serangga itu juga menyebabkan kulit terasa seperti terbakar. Racun daripada semut peluru itu juga boleh menyebabkan lumpuh sementara.
“Sengatan semut peluru akan menyebabkan rasa sakit yang menjalar ke seluruh tubuh.
“Mereka akan berpeluh, gementar dan jantung berdenyut kencang,” kata aktivis alam sekitar British, Steve Backshall ketika membicarakan tentang semut terbesar di dunia itu.
Tambahnya lagi, beberapa sengatan semut peluru juga mampu membuatkan seseorang itu pengsan.
Sesetengah lelaki Orang Asli suku itu yang melalui ritual tersebut akan merasa sakit sehingga berminggu-minggu dan tidak kurang juga yang menangis serta pengsan kerana tidak tahan dengan sengatan semut peluru itu.
Tradisi itu sudah diamalkan sejak turun-temurun suku Satere-Mawe iaitu salah satu suku asal di hutan Amazon.
Anak-anak lelaki yang sudah mencapai usia 12 sehingga16 tahun diwajibkan untuk melakukan ritual tersebut.
Kepala suku Satere-Mawe akan menyediakan ‘sarung tangan’ semut peluru kepada anak-anak lelaki yang sudah memasuki usia dewasa.
Sebelum memulakan ritual tersebut, tangan remaja lelaki itu akan dioles dengan arang untuk menangkis sengatan semut peluru, namun sebenarnya tidaklah efektif.
Selepas itu, kedua-dua tangan akan dimasukkan ke dalam anyaman daun sehingga sampai ke aras siku.
Tangan tersebut perlu berada di dalam ‘sarung’ itu selama 10 minit dan perlu mengulanginya sebanyak 20 kali dalam tempoh 11 jam.
Sepanjang menjalani ritual itu, remaja lelaki harus menari sambil menahan sakit kerana digigit semut-semut peluru yang ada di dalam ‘sarung tangan’ itu. Walaupun dalam kesakitan, mereka perlu meneruskan tarian tanpa menunjukkan rasa lemah atau sakit.
Sementara itu, para ketua adat akan berdoa dan menari bersama sehingga ritual tersebut selesai.
Jika berjaya melepasi ujian itu, mereka dianggap telah dewasa kerana bersedia menghadapi rintangan hidup. Bisa sengatan semut peluru itu dipercayai menyamai keperitan-keperitan hidup mendatang.
Sebaliknya, bagi mereka yang tidak berjaya perlu mengulangi ritual itu sehingga selesai.