Oleh ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU – Kudapan rakyat Kelantan yang dipanggil etok atau etak kini diberi nafas baharu lebih hipster dengan mempunyai pelbagai perisa bagi beri kelainan kepada pembeli.
Dulunya, etak salai dijual kini ia mempunyai pelbagai perisa seperti tom yam, paprik, pedas manis, manis lemak dan biasa lemak.
Seorang peniaga, Suria Harun, 25 berkata dia telah menjual etak lebih lima tahun dan terbaru etak berperisa paprik di Kampung Badang, di sini.
“Saya jual etak dengan rasa yang lebih hipster bagi memberi kelainan, dulu hanya jual salai sahaja kini macam-macam rasa ada, Alhamdulillah pelanggan suka,”jelasnya kepada Kosmo! Ahad.
Ujarnya, etak diperolehi dari pembekal di Pasir Mas, sebanyak 120 kilogram dengan harga RM630.
Katanya, proses untuk menghasilkan pelbagai rasa etak mengambil masa sekurang-kurangnya satu malam.
“Permulaannya etak perlu dibasuh sebersih-bersihnya bagi mengelak ia berbau hanyir.
“Saya berharap etak yang dijual ini terus mendapat sambutan pelanggan dan tidak kisah dengan persaingan peniaga etak lain kerana rezeki itu milik Allah,” katanya.
Katanya, untuk tempoh sekarang ini mahu mengekalkan lima resipi sahaja.
Etak yang dijual Suria pada harga RM2 hingga RM7 sebungkus mengikut perisa-perisa tertentu.