KUALA LUMPUR- Empat lelaki warganegara tempatan ditahan polis dalam Ops Alkohol dan Pencegahan Jenayah ekoran memandu dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 60 tahun itu merupakan antara 263 individu diperiksa dalam operasi itu.
“Keempat-empat mereka disiasat di bawah Seksyen 45(A) 1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam operasi yang diadakan selama dua hari bermula semalam antara pukul 11 malam hingga 3 pagi, polis turut memeriksa hampir 238 buah kenderaan serta mengeluarkan sebanyak 16 saman lalulintas,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini tadi.
Tambahnya, Polis Petaling Jaya sentiasa memandang serius terhadap kesalahan pengguna jalan raya khususnya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol. – K! ONLINE