fbpx

Derita penduduk Amanjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Satu-satunya kedai menjual barang basah yang dibuka di Ambangan Heights, Amanjaya di Sungai Petani.

SUNGAI PETANI – Penduduk di tiga zon di Ambangan Heights, Amanjaya di sini mengeluh apabila hanya sebuah kedai runcit yang menjual barang basah dibuka di kawasan perumahan tersebut sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Dipeketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran bermula kelmarin.

Rata-rata penduduk Zon Kenanga, Mawar dan Melor yang ditemui semalam memberitahu mereka berdepan kesukaran apabila empat kedai runcit di situ diarah tutup kerana semua peniaga premis tinggal di luar kawasan PKPD.

Susulan itu, penduduk memohon supaya sebuah pasar tani khas dibuka bagi memudahkan mereka mendapatkan barang makanan terutama ikan, ayam dan sayur-sayuran.

Penduduk Zon Mawar, Mohd. Saiful Saad, 45, berkata, penduduk sangat memerlukan bekalan makanan terutama barang basah sepanjang PKPD ini.

“Malangnya hari ini hanya sebuah kedai runcit yang menjual barang basah dibuka, manakala yang lain tutup kerana difahamkan peniaga bukan penduduk di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Ambangan Heights di sini semalam.

 

PENDUDUK Zon Mawar yang juga peniaga pasar, Abu Aziz (kiri) bercadang untuk membuka gerai jualan barang basah di kawasan perumahan di Ambangan Heights.

 

Katanya, kawasan perumahan yang dihuni seramai 22,360 penduduk itu luas dan mereka memerlukan bekalan makanan yang mencukupi sepanjang tempoh kuarantin tersebut.

“Apa yang saya lihat penduduk di sini memerlukan sebuah pasar tani khas di kawasan ini,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Azizan Abdul Kadir, 46, berkata, penduduk buat masa ini terpaksa menggunakan per­khidmatan penghantaran untuk mem­beli barang di luar kawasan ini.

“Hari ini saya terpaksa me­minta bantuan kawan untuk mendapatkan bekalan petrol di hadapan sekatan jalan raya di jalan masuk ke Ambangan Heights ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk Zon Mawar, Abu Aziz Jaafar, 56, berkata, dia terputus mata pencarian apabila tidak dibenarkan keluar untuk berniaga di pasar pagi Taman Bandar Baru terletak berhampiran.

“Saya bercadang untuk mendapatkan bekalan barang basah daripada peniaga di luar kawasan ini untuk berniaga di kawasan perumahan ini,” katanya.

Katanya, dia juga berharap agar sebuah pasar tani khas dibuka di kawasan PKPD itu de­ngan kadar segera selain proses agihan bantuan makanan daripada kerajaan dipercepatkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI