fbpx

Barisan muda Perak II mampu bersaing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BRUNO Luiz Pires Bezerra (kanan) berjaya menjaringkan satu gol buat Perak II sewaktu seri 2-2 dengan Sarawak United pada aksi Liga Premier semalam. - FB PERAK TBG

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Perak II yakin mampu memberi cabaran lebih sengit dalam baki saingan Liga Premier musim ini susulan prestasi dipamerkan sewaktu mengikat Sarawak United 2-2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung semalam.

Ketua jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim memuji semangat melawan ditunjukkan barisan pemainnya yang rata-ratanya berusia dalam lingkungan 23 tahun sehingga mampu mengutip satu mata berharga dalam perlawanan tersebut.

“Buat pertama kali saya menyenaraikan tiga pemain bawah umur 21 tahun dalam kesebelasan utama sebelum memasukkan dua lagi pemain pada usia yang sama dalam separuh masa kedua.

“Saya berbangga kerana mereka berani berhadapan pasukan yang mempunyai ramai pemain berpengalaman seperti kapten Sarawak United, Mohd. Amri Yahyah),” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Keputusan itu membolehkan Perak II mengumpul dua mata daripada lima perlawanan dan kekal menghuni tangga kedua tercorot, manakala Sarawak United memperoleh empat mata selepas lima aksi Liga Premier setakat ini.

Sementara itu, Abu Bakar mengakui, prestasi anak-anak buahnya yang sebahagiannya akan beraksi mewakili Perak pada Sukan Malaysia 2020 di Johor tahun depan akan lebih meningkat apabila mengharungi banyak perlawanan selepas ini.

“Satu mata ini cukup berharga dan dijangka berlaku peningkatan prestasi dalam setiap perlawanan nanti. Kematangan dan kemahuan daripada setiap pemain adalah penting,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI