TANJUNG MALIM – Bapa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd. Zaidi Aziz berpesan kepada anaknya agar sentiasa menjaga amanah yang diberikan rakyat selain tidak lupa diri.
Aziz Nordin, 80, berkata, anak keempat dari enam beradik itu perlu berkhidmat dengan baik kepada rakyat selepas mereka memilihnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam.
“Saya berulang kali pesan kepadanya, jangan lupa diri dan jangan pandang senang bila sudah menjadi wakil rakyat.
“Saya harap dia dapat jalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya itu dengan baik. Saya tahu dia boleh laksanakan kerana dia anak yang penyabar. Doa saya sentiasa bersamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Awam Slim River dekat sini hari ini.
Menurut Aziz, dia gembira dengan kemenangan anaknya dalam PRK DUN Slim atas usaha keras dia sepanjang kempen selama dua minggu.
“Saya perasan yang badannya sedikit susut dan berat badannya juga turun 9 kilogram (kg) selepas dua minggu berkempen.
“Saya gembira dengan kejayaannya dalam apa jua bidang yang dilakukan dan restu serta doa saya sentiasa bersamanya,” katanya.
Menurut Aziz, dia tidak banyak mengikuti kempen anaknya itu atas faktor usia dan hanya banyak meluangkan masa di rumah dalam dua minggu kempen berlangsung. – K! ONLINE