KUALA LUMPUR – Seramai 27 individu ditahan direman semalam kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 55 individu lain dikenakan kompaun, manakala dua lagi individu diikat jamin.
“Antara kesalahan dilakukan termasuk membabitkan aktiviti dalam kelab malam (45), gagal menyediakan catitan keluar masuk (17), tidak memakai pelitup muka (10) dan premis beroperasi lebih masa (2).
“Kesalahan lain adalah premis beroperasi tanpa lesen (1), aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (7) dan dua tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan sebanyak 61,303 pemeriksaan dilakukan oleh pihak berkuasa semalam bagi memantau pematuhan PKPP.
Menurut beliau, sebanyak 3,881 pasar raya, 4,996 restoran, 1,090 penjaja, 1,818 kilang, 3,466 bank dan 966 pejabat kerajaan diperiksa.
Jelas beliau, turut diperiksa 1,107 terminal pengangkutan darat, 224 terminal pengangkutan air dan 131 terminal pengangkutan udara.
Tambah beliau, sebanyak 28,309 kenderaan turut diperiksa di 62 sekatan jalan raya melalui Op Benteng di seluruh negara.
Kata beliau, polis turut mengadakan 418 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing semalam.
“Kesemua individu yang dikuarantin didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, kata Ismail Sabri, seramai 11,280 individu yang pulang dari luar negara dan ditempatkan di hotel atau Institut Latihan Awam (ILA) sejak 24 Julai lalu telah dibenarkan pulang.
“Seramai 8,854 individu lain sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya. – K! ONLINE