URIN – Pengendali baharu Juventus, Andrea Pirlo dilaporkan sedang mempertimbangkan potensi untuk mendapatkan penyerang Barcelona, Luis Suarez bagi memantapkan jentera hadapan pasukannya.
Suarez dilaporkan tidak berada dalam perancangan jurulatih baharu Barcelona, Ronald Koeman untuk musim depan menyebabkan dia perlu meninggalkan Camp Nou.
Selain itu, Juventus mempunyai kekosongan di bahagian penyerang selepas meletakkan Gonzalo Higuain di dalam senarai yang perlu mereka lepaskan pada jendela perpindahan kali ini.
Bagaimanapun, Suarez mengakui telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu untuk mengetahui kedudukannya musim depan.
“Presiden memberikan beberapa nama dan perubahan pasti akan berlaku tetapi tidak ada sesiapa yang datang memberitahu mengenai kedudukan saya musim depan.
“Jika ia adalah kemahuan kelab (menggugurkannya daripada senarai musim depan), saya fikir ia bagus jika individu yang bertanggungjawab datang memberitahu saya sendiri.
“Saya berada di Barcelona selama enam tahun dan ia adalah tempoh yang cukup untuk mereka datang memberitahu saya mengenai apa yang mereka fikir. Jika saya perlu keluar, mereka perlu nyatakannya.
“Hasrat saya untuk kekal lama di sini. Saya mahu terus menyumbang yang terbaik untuk kelab ini selain mendapat sokongan yang sangat baik daripada peminat sejak tiba di sini,” katanya.
Ketika Lionel Messi menyatakan hasrat untuk meninggalkan Barcelona, Suarez juga perlu mempersiapkan diri bergandingan bersama Cristiano Ronaldo sekiranya Juventus benar-benar mahukan khidmatnya. – AGENSI