SPA-FRANCORCHAMPS, Belgium – Pelumba Finland, Kimi Raikkonen belum memutuskan mengenai masa depannya sama ada mahu meneruskan karier dalam perlumbaan Formula Satu (F1) atau kembali memberi perhatian kepada keluarganya.
Pelumba berusia 40 tahun tersebut antara pelumba paling senior yang masih beraksi dalam perlumbaan F1 musim ini, malah juara dunia 2007 itu turut memegang rekod perlumbaan paling banyak dalam sejarah perlumbaan F1.
“Perkara yang paling utama adalah keluarga kerana anak-anak juga semakin membesar. Tahun ini saya banyak menghabiskan masa di rumah dan ia suatu yang menyeronokkan.
“Mengenai perancangan sama ada meneruskan perlumbaan ataupun tidak, saya masih belum tentukan,” katanya.
Bekas pelumba Ferrari tersebut menyertai pasukan Alfa Romeo pada musim 2019 masih belum meraih keputusan positif apabila terus gagal untuk mendapatkan podium pertamanya.
Raikkonen dikatakan akan meninggalkan pasukan tersebut, namun sehingga kini belum ada sebarang perbincangan serius meskipun dikaitkan menyertai pasukan Aston Martin.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, perkara pertama yang saya perlu lakukan adalah mengenai perancangan perlumbaan musim depan.
“Saya rasa ia tidak mengubah apa-apa jika saya berlumba dengan mereka ataupun tidak. Saya lebih suka berlumba di posisi yang baik untuk meraih kemenangan tetapi secara jujurnya ia tidak terjamin ke arah itu,” kata Raikkonen. – AGENSI