Oleh ZULHANIFA SIDEK
KOTA BHARU – Sempena menyambut Hari Merdeka, pembekal pakaian sukan terkenal di Kelantan, PUC Sport akan membuat lelongan sebanyak 2,000 helai jersi secara besar-besaran hanya pada harga RM7.50 sehelai.
Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi, berkata, lelongan selama sehari pada Isnin ini bermula pukul 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam dan hanya menetapkan setiap seorang pelanggan terhad membeli dua helai jersi sahaja.
“Jersi dilelong amat berkualiti, selesa, tidak panas dan menyerap peluh. Promosi hebat ini diadakan sebagai tanda terima kasih kepada orang ramai yang sentiasa menyokong syarikat PUC Sport.
“Pada hari yang sama, pihak PUC Sport juga akan mengagihkan jalur gemilang kepada orang ramai yang datang untuk membeli jersi tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Tambahnya, inisiatif tersebut sebagai salah satu usaha pihak PUC Sport untuk menyumbang sesuatu kepada pelanggan sempena menyambut kemerdekaan.
Katanya, selain itu kedai PUC Sport di Kubang Kerian turut menawarkan pilihan baju sukan pelbagai rekaan yang menarik, eksklusif dan berkualiti untuk pilihan para pelanggan kedai kami.
Jelasnya, dia juga berharap agar hubungan rakyat pelbagai kaum di negara ini sentiasa baik.
“Saya berharap rakyat Malaysia bersama-sama memeriahkan sambutan kemerdekaan dengan norma baharu pada tahun ini” ujarnya. – K! ONLINE