Oleh IVAN AMIRUL
SANDAKAN – Seorang pekerja lanskap maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton ketika melakukan kerja pembersihan di Jalan Leila di sini hari ini.
Mangsa, Hairana Ahirin, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, kenderaan tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun turut mengakibatkan seorang lagi rakan si mati dikenali sebagai Aidah Amirul, 30, parah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Batu Sapi.
“Setibanya lokasi kejadian, Mitsubishi Triton tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan.
“Kenderaan itu kemudianya merempuh mangsa bersama seorang lagi rakan sekerjanya yang sedang bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Azhar, pemandu pacuan empat roda itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, pihaknya mengambil sampel darah lelaki itu untuk menguji kandungan alkohol.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkan kepada polis.K! ONLINE
-Tamat-