Oleh SAFINA RAMLI
BALIK PULAU – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) akan melaksanakan projek kontingensi air mentah untuk meningkatkan kapasiti Empangan Teluk Bahang di sini bermula bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, projek itu melibatkan pengalihan air mentah dari kawasan tadahan air Sungai Pinang berhampiran air terjun Titi Kerawang ke dalam empangan.
“Projek ini akan membolehkan Empangan Teluk Bahang memanfaatkan dua sumber air mentah iaitu kawasan tadahan air Teluk Bahang dan kawasan tadahan air Sungai Pinang yang jaraknya sekitar 8.6 kilometer melalui jalan darat.
“Saluran paip air terawat 450 milimeter (mm) sedia ada di muka sauk Sungai Pinang akan digunakan untuk mengalirkan air mentah dan dilepaskan ke empangan secara semula jadi,” katanya selepas meninjau Empangan Teluk Bahang di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan paras kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang menurun sejak awal Jun lalu akibat kekurangan hujan di kawasan tadahan air kawasan berkenaan.
Menurut Jaseni, pada masa ini PBAPP sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian saluran paip untuk membolehkan pengalihan air mentah dari kawasan tadahan Sungai Pinang ke Empangan Teluk Bahang.
“Ketika hujan di kawasan tadahan air Empangan Teluk Bahang dan kawasan tadahan air Sungai Pinang, empangan akan berpontensi menerima hasil dari tadahan Sungai Pinang sekitar 10 juta liter sehari,” katanya.
Sementara itu, kapsiti efektif Empangan Teluk Bahang pada hari ini dicatatkan pada paras 16.4 peratus iaitu mencukupi untuk bekalan selama 51 hari tanpa hujan. – K! ONLINE