fbpx

Merais, hip hop alaf baharu K-Clique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SINGLE MERAIS

“SINIKAN singa, takkan termakan kata serigala.” Itu antara bait-bait lirik yang terluah dari bibir Noki K-Clique. Lirik tersebut daripada single terbaharu, Merais dendangan kumpulan hip hop popular, K-Clique.

Sebenarnya, Merais ciptaan bersama semua anggota K-Clique yang berasal dari negeri Di Bawah Bayu, Sabah itu sudah lama menemui peminat sekitar Julai lalu.

Selepas meletus dengan single berjudul Mimpi (featuring Alif) yang merekodkan jumlah tontonan di YouTube sebanyak 41 juta, K-Clique yang dianggotai MK, Noki, Tuju, SoMean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas kini muncul dengan Merais.

Dalam arus muzik perdana nama K-Clique mungkin kedengaran sedikit asing, namun karya-karya mereka seperti Sah Tu Satu, Lane Lain Line dan Beg 2 Back dijulang kelompok peminat tersendiri.

Bercerita tentang Merais, dalam durasi lima minit 30 saat lagu berkenaan bermain dalam gegendang telinga, harus diakui, tiada satu pun momen ‘lompong’ yang ditinggalkan K-Clique.

Sungguh, lagu hip hop berkenaan kaya bunyi dan kuat rantaian lirik padu yang boleh menyentap setiap pendengar agar tidak leka dengan keasyikan muziknya semata-mata.

KUMPULAN K-Clique kini mendaki cemerlang untuk menjadi pemuzik hip hop berpengaruh dalam arus muzik tanah air.

 

Pembaharuan, unik

Dalam erti kata lain, sekiranya ada pendengar yang tidak mampu menghadam isi penyampaian lagu itu, masalah mungkin datang daripada si pendengar.

Mungkin mereka tidak benar-benar mengikuti trend muzik hip hop tempatan.

Menerusi Merais, bertubi-tubi lontaran kata daripada setiap anggota K-Clique yang mempunyai makna tersendiri.

Merais menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud menyapu dan menghimpunkan (sam­pah atau sisa makanan).

Barangkali lagu ini memberi definisi buat K-Clique bahawa untuk berada pada tahap sekarang, ada banyak halangan yang perlu mereka tempuhi.

Secara peribadi, penulis melihat K-Clique sebagai perkara yang paling menarik perlu diberi perhatian dalam industri pada masa sekarang.

Penulis tidak pasti pandangan tersebut mampu diterima pihak lain, namun apa yang pasti setiap anggota K-Clique mempunyai keistimewaan masing-masing.

Tuju dan Noki selain memukau dengan lantunan rap, mereka boleh juga cemerlang dengan vokal yang merdu. Anggota lain, tidak kurang hebatnya. Nyanyian rap mereka mempunyai identiti dan keistimewaan tersendiri.

Lapan orang lelaki menyanyi rap dalam sebuah karya boleh menghasilkan sebuah bunyi yang menyesakkan, namun tidak apabila karya tersebut datang daripada K-Clique. Alasannya, karya dipersembahkan punya keunikan dan kehebatan luar biasa.

Barangkali juga, nukilan lirik yang dikongsikan K-Clique sedikit liar, namun secara peribadi, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Kelapan-lapan anak muda itu berani mendepani segala kritikan untuk memberi nafas segar dalam industri seni tanah air secara amnya, terutama lanskap hip hop tempatan yang semakin berkembang.

Sudah tiba masanya juga untuk khalayak bergerak ke hadapan dan memberi ruang kepada pemuzik seperti seperti K-Clique untuk sama-sama berlari di atas trek arus perdana.

Seperkara lagi, jika ada sesiapa yang masih ‘keliru’ siapakah K-Clique, silalah buat carian dalam YouTube dan nikmati rangkaian muzik mereka tanpa rasa prejudis.

Untuk semua respons daripada ulasan di atas, penulis terlebih dahulu mengucapkan ‘sama-sama’ buat semua pembaca atau peminat K-Clique di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI