Perjuangan orang zaman dahulu yang bermandi darah, keringat dan memerah kudrat demi kesejahteraan masyarakat pada masa kini bukanlah sesuatu yang harus dilupakan.
Pengorbanan pejuang-pejuang lampau juga merupakan satu ikhtibar yang harus kita renung dan muhasabah.
Bagaimanapun, seiring dengan peredaran waktu dan perkembangan teknologi, dapat dilihat penghargaan masyarakat masa ini terhadap pengorbanan pejuang-pejuang negara semakin dilupakan.
Semangat patriotisme dan cintakan negara bukanlah perkara yang mampu timbul sendiri dalam diri setiap individu, namun perlu dipupuk dan disemat dalam diri sejak kecil lagi, agar jiwa mereka sebati dengan perasaan itu.
Oleh itu, semangat patriotisme adalah sesuatu yang wajar dijiwai secara berterusan, dan bukan sekadar dizahirkan melalui sambutan tahunan semata-mata.
Menurut Profesor di Jabatan Pengajian, Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar mengimbau kembali perjalanan sejarah kemerdekaan negara tetapi perlu melihat kepada usaha pengisian kemerdekaan.
Katanya, pendekatan yang digunakan untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta terhadap negara adalah sangat penting dan perlu dititikberatkan.
“Semangat patriotik ini bergantung kepada perkara-perkara asas. Ia penting bagi kerajaan melakukan sesuatu secara berterusan bagi menyuburkan semangat tersebut kerana ia akan menjadi tunjang kepada kemerdekaan.
“Jika dilihat, sambutan merdeka di negara ini begitu sinonim dengan pengisian-pengisian berbentuk hiburan.
“Oleh itu, pihak berwajib perlu fikirkan sesuatu selain elemen tersebut dan mula menggunakan pendekatan yang lebih konkrit kerana pendidikan patriotisme perlu dipupuk dari akar umbi,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Katanya, lagu-lagu patriotik perlu dikumandangkan setiap hari oleh media elektronik supaya setiap hari rakyat Malaysia akan menghayati dengan perasaan dan semangat cintakan negara.
Sementara itu, Pensyarah Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, semangat patriotik jika tidak dimakmurkan boleh pupus dan melemahkan asas kepada kekuatan negara.
Katanya kempen-kempen mengenai kesedaran kemerdekaan perlu dijalankan secara berterusan dan medium seperti media sosial perlu digembling ke arah mendidik rakyat tentang kepentingan semangat patriotisme.
“Semangat patriotisme kini dilihat seperti telah dipolitikkan. Ini kerana ada segelintir masyarakat yang berpendapat, apabila menzahirkan semangat patriotisme ianya seolah-olah menyokong kerajaan semasa sahaja.
“Oleh itu, amat penting bagi mendidik rakyat mengenai perbezaan antara politik dan semangat patriotisme terhadap negara,” ujarnya.
Perpaduan adalah tunjang utama kemerdekaan negara kita. Justeru, masyarakat pada hari ini perlu bermuhasabah diri menilai tentang penghayatan kemerdekaan yang ada dalam diri.
Semua pihak haruslah bersatu padu menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan supaya sejarah semakin subur dihayati masyarakat pelbagai kaum di negara ini.