Oleh MOHD RAFIE AZIMI
KEPUTUSAN kurang memberangsangkan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan bukan ukuran kepada keupayaan sebenar pasukan Kedah apabila kembali menyambung aksi Liga Super menentang PDRM malam ini.
Menurut penyerang utama Helang Merah, Kpah Sherman, seluruh pasukan kini tampak lebih bersedia untuk menampilkan aksi terbaik bagi mencatat kemenangan di gelanggang lawan.
“Selepas beberapa perlawanan, saya fikir kami berada pada tahap lebih baik sama ada daripada aspek kecergasan mahupun persefahaman.
“Saya fikir kami telah bersedia sebagai sebuah pasukan untuk memulakan perlawanan esok dan secara peribadi, saya sendiri juga bersedia untuk membuatkan para penyokong berbangga dengan pasukan ini,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Dalam tiga perlawanan persahabatan sebelum ini, Kedah tewas 1-2 kepada Perak II dan 2-3 kepada Pulau Pinang. Mereka hanya menang sekali 3-1 ke atas UKM FC pada 10 Ogos lalu.
Kpah menambah, ketika ini para pemain kelihatan tidak terkesan dengan apa jua isu di luar padang dengan komitmen 100 peratus sedia diberikan apabila masing-masing turun beraksi nanti.
Dalam pada itu Kedah tidak berdepan masalah untuk menurunkan hampir keseluruhan pemain utama termasuk kapten, Baddrol Bakhtiar biarpun pemain itu tinggal di kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Sungai Petani berkuat kuasa semalam.