LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui resah bertemu Liverpool pada aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley malam ini selepas hanya dua kali menjalani sesi latihan.
Meskipun melakar kemenangan 4-1 ke atas MK Dons pada aksi persahabatan sebelum ini, namun ia masih belum cukup buat The Gunners melakukan persiapan terbaik untuk berdepan Liverpool.
Tempoh rehat yang terlalu singkat sebelum saingan musim baharu menjadi salah satu punca Arsenal berada dalam keadaan kelam-kabut bagi melakukan persiapan terbaik berdepan Liverpool.
“Kami hanya jalani dua sesi latihan sebelum ini dan tiba-tiba perlu beraksi pada Perisai Komuniti ketika kami masih berada dalam tempoh pramusim.
“Secara jujur ia bukan masa sesuai untuk beraksi pada perlawanan seperti ini tetapi pemain saya cukup bermotivasi. Ini adalah peluang untuk menjulang trofi, jadi kami tidak akan sia-siakannya,” kata Arteta.
Meskipun tersepit dengan situasi tersebut, namun pengendali dari Sepanyol itu menegaskan mereka perlu melakukannya kerana ia merupakan tugas mereka.
“Kami tidak ada pilihan dan perlu bermain pada perlawanan tersebut. Saya fikir pemain sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk cuba memenangi perlawanan itu nanti,” ujarnya. – AGENSI