Oleh NORLIA RAMLI
BALING – Hajat seorang pemuda untuk mengambil angin sebaik tamat waktu bekerja tidak kesampaian apabila dia maut selepas melanggar seekor kucing dalam kejadian di Jalan Sultan Abdul Halim di pekan Baling di sini semalam.
Lebih memilukan, kejadian pada pukul 12.15 tengah malam itu mengakibatkan Mohamad Azam Wahab, 27, maut di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Mohamad Azam ialah pembantu dapur sebuah restoran mi udang galah yang baru dibuka pada 20 Ogos lalu. Dia berasal dari Guar Cempedak di sini.
Pemilik restoran itu, Mohd. Fakhirie Abu Bakar, 39, berkata, kejadian tersebut berlaku begitu pantas ketika mereka selesai menutup kedai selepas habis berniaga dari pukul 3 petang hingga 11 malam.
Katanya, Mohamad Azam kemudian memaklumkan yang dia ingin mengambil angin seketika dengan menunggang motosikal. Jarak kedai dengan lokasi kejadian kira-kira 20 meter.
“Tidak sampai seminit meninggalkan kedai, kami terdengar bunyi kuat sebelum terkejut apabila melihat dia sudah terjatuh dari motosikalnya.
“Saya dan beberapa pekerja lain berlari ke arah mangsa sebelum menemuinya dalam keadaan parah. Kami sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebanyak tiga kali sebelum dia meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, dia percaya kemalangan itu berlaku apabila Mohamad Azam terlanggar seekor kucing yang tiba-tiba melintas sebelum terbabas yang mengakibatkan kehilangan nyawanya.
Menurut Mohd. Fakhirie, kucing liar tersebut dipercayai datang dari pasar berdekatan yang menjadi lokasi kebanyakan orang membuang haiwan tersebut.
“Saya percaya arwah telah brek mengejut, namun gagal mengelak daripada melanggar kucing itu. Bangkai kucing berkenaan turut ditemui berdekatan tempat kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 12.15 tengah malam sebelum bergegas ke lokasi kemalangan.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 telah terbabas selepas melanggar seekor kucing yang tiba-tiba melintas.
“Motosikal yang ditunggang lelaki itu kemudian hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pasu bunga di atas pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, kucing yang dilanggar turut mati. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim di sini untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Cempedak di sini.
Kes kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.