Oleh ZULHANIFA SIDEK
KOTA BHARU – Langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga penghujung tahun ini dijangka tidak akan menjejaskan ekonomi dan perdagangan negara.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ekonomi negara dilihat sudah beransur pulih selepas kerajaan membuka semula semua sektor ekonomi sejak Jun lalu.
Beliau berkata, PKPP tidak memberikan masalah yang besar kerana rakyat sudah biasa dengan keadaan tersebut sejak dua bulan lalu.
“Sektor peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana, pembuatan termasuk pembinaan juga semakin rancak. Tindakan melanjut PKPP adalah tepat dan ia tidak akan menjejaskan ekonomi negara.
Pembangunan negara semakin pulih dan kita jangkakan pada hujung tahun ini negara kita akan semakin pulih,” katanya selepas merasmikan Kios Air Tebu Viral di Hotel Royale Guest House di sini hari ini.-K! ONLINE