fbpx

Tekong darat gagal rasuah PGA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tekong darat (kiri) yang cuba merasuah anggota PGA Batalion 4 sebanyak dua kali selepas menyeludup migran di Jalan Parit Changkat, Sabak Bernam malam tadi.

SABAK BERNAM – Bukan sekali tetapi dua kali cubaan dilakukan seorang tekong darat bagi melepaskan diri bersama rakannya selepas dicekup menyeludup migran dalam Ops Benteng Covid di Jalan Parit Changkat di sini malam tadi.

Lelaki berusia 44 tahun itu diberkas bersama rakannya berusia 32 tahun dalam kejadian pukul 10.45 malam.

Turut ditahan adalah 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berusia lima hingga 34 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, operasi tersebut hasil maklumat awam dan risikan pihaknya terhadap kegiatan penyeludupan di kawasan tersebut.

Katanya, semasa ditahan lelaki tersebut pada mulanya menawarkan rasuah RM3,000 kepada anggota serbuan, namun ditolak kerana perbuatannya jelas salah di sisi undang-undang.

“Tekong tersebut kemudiannya meninggikan tawaran rasuah kepada RM4,000, namun jumlah itu gagal mematahkan semangat pihak berkuasa yang tetap mengulangi perbuatan suspek adalah salah.

“Hasil siasatan dua lelaki tersebut dipercayai cuba melakukan aktiviti penyeludupan migran dengan keluar mengikut laluan laut yang tidak diwartakan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan turut menahan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 47 tahun yang turut ingin keluar secara haram atas alasan isteri dan anaknya berada di Indonesia.

Difahamkan, tindakan itu susulan pintu sempadan Indonesia yang masih ditutup untuk rakyat luar.

Jelas Zulafendy, menerusi operasi tersebut merampas dua buah kereta, telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai mata wang Malaysia dan Indonesia bernilai RM17,835.42.

“Kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1963,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI