KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan bagi melucut hak wang RM100,000 daripada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gadam Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide ketika dihubungi berkata pihaknya memfailkan rayuan tersebut di Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara di Mahkamah Rayuan pada 28 Julai lalu.
Peguam Sasila Basri yang mewakili Kasitah memaklumkan tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 17 September depan dan prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini wang berkenaan dibekukan oleh SPRM pada 2018, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 24 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan SPRM selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan wang yang disita daripada akaun Kasitah di Bank CIMB Berhad adalah hasil daripada aktiviti haram.
Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata pemohon hanya menunjukkan resit RM100,000 dalam akaun responden (Kasitah) tetapi gagal mengambil langkah paling penting untuk menunjukkan bahawa wang yang berasal daripada akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah hasil daripada aktiviti yang tidak sah
Justeru Ahmad Shahrir berkata mahkamah menolak permohonan pendakwaan selepas mendapati melalui imbangan kebarangkalian bahawa pemohon tidak berjaya membuktikan mengikut Seksyen 56 AMLATFPUAA bagi mendapatkan perintah supaya wang dalam akaun itu dilucut hak. – K!ONLINE