TANJUNG MALIM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengharapkan 85 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab meraka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya turut menjangkakan keputusan PRK ini juga akan diperoleh seawal pukul 9 malam berdasarkan keadaan aman sepanjang kempen berlangsung.
“Saya harap angka 70 peratus yang dijangka keluar mengundi itu meningkat kepada 85 peratus memandangkan keadaan di sini aman dan tiada kesesakan trafik serta pengundi juga terdiri daripada masyarakat kampung dan Felda.
“Saya mengharapkan keputusan dapat keluar awal sebelum pukul 9 malam. Namun ia tertakluk kepada Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan tiada kacau ganggu atau bantahan pada waktu itu,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini hari ini.
Tambah Abdul Ghani, sebanyak 54 saluran akan dibukan melalui 12 pusat mengundi bagi proses pengundian yang akan berlangsung bermula pukul 8 pagi sehingga 5.30 petang.
“Seramai 22,749 orang pengundi diharap dapat menjalankan tanggungjawab mereka keluar mengundi dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Ambil masa yang sesuai untuk keluar mengundi.
“Semua pengundi dinasihatkan untuk tidak memakai baju atau peralatan yang mempunyai lambang parti atau calon yang bertanding. Sekiranya ingkar, Ketua Tempat Mengundi (KTM) berhak menolak mereka termasuk pengundi yang tidak membawa MyKad,” katanya.
Menurutnya, seramai 689 petugas SPR yang dilantik akan membantu terutamanya warga emas dan golongan kelainan upaya (OKU) di setiap saluran sepanjang proses pengundian.
“Para petugas akan membantu warga emas ini dengan menyiapkan kerusi roda dan keperluan lain di setiap pusat mengundi.
“Warga emas dan OKU juga akan diberi keutamaan memasuki laluan yang dikhususkan kepada meraka,” katanya. – K! ONLINE