KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,871 kotak mengandungi arak seludup bernilai RM1,953,380 dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Kadut, Segamat, Johor pagi semalam.
Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Bridged Tengah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan oleh Cawangan Risik Briged Tengah PGA Cheras dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat itu dilakukan kira-kira pukul 7.40 pagi.
“Minuman keras yang berjaya dirampas membabitkan 42,672 tin, 21,336 liter bir pelbagai jenama dan 2,916 botol wiski pelbagai jenama. Minuman itu dipercayai diseludup masuk dan tidak mempunyai cukai kastam.
“Dalam serbuan tersebut seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditahan. Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad berkata, serbuan itu melumpuhkan sebuah sindiket pengedaran arak jenis bir dan wiski tanpa cukai di sekitar daerah Segamat, Muadzam serta Kuantan di Pahang.
Kata beliau, pihak polis menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang. – K! ONLINE