Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Risikan selama sebulan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSNJ) Perak berjaya menggagalkan cubaan mengedar dadah berikutan penahanan seorang lelaki dalam satu operasi di Medan Ipoh Bestari di sini Rabu lalu.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, suspek berketurunan India berumur 36 tahun tidak sempat berbuat apa-apa apabila dikepung polis.
Ketua JSNJ Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan berkata, pemeriksaan di dalam bonet kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki itu menemui dadah jenis heroin seberat 9.3 kilogram (kg) yang diisi di dalam 10 peket plastik lutsinar.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal polis, bekalan dadah itu dipercayai dibawa dari utara tanah air untuk diedarkan kepada penagih di Ipoh dan sekitar bandar ini.
“Polis percaya suspek yang tidak bekerja ini merupakan ahli sebuah sindiket pengedaran dadah yang telah bergiat aktif sejak dua bulan lalu dan siastan masih dijalankan bagi mengenal pasti ahli-ahli lain.
“Dadah yang dianggarkan bernilai RM120,000 ini juga boleh dibekalkan kepada kira-kira 6,200 orang penagih,” ujarnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Turut dirampas ialah sebuah kenderaan jenis Perodua Axia dan siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemiliknya.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – K! ONLINE