Oleh MOHAMAD FAHD RAHMAT
KLUANG – Kira-kira 500 penduduk dari enam buah kampung di sini diselubungi ketakutan setiap kali kawanan gajah liar masuk ke kampung mereka untuk mencari makanan.
Enam kampung terbabit ialah Kampung Ilham, Kampung Haji Jaafar, Kampung Saari, Kampung Sri Tambak 1 dan 2 selain Kampung Sri Jaya.
Ahli Jawatankuasa Majlis Permuafakatan Kesejahteraan Kampung Sri Tambak, Asri Abdul Samad berkata, masalah itu mula meruncing sejak 2015 dan semakin membimbangkan sejak tiga tahun lalu.
Katanya, kawanan gajah itu dipercayai keluar daripada habitat di kawasan hutan simpan di Kahang yang diteroka untuk projek Loji Rawatan Air Empangan Kahang seluas kira-kira 2,000 hektar.
“Sejak itu, haiwan digelar ‘orang kuat’ oleh penduduk setempat mula memasuki kawasan kampung untuk mencari makanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurutnya, selain merosakkan tanaman pisang dan kelapa penduduk, kawanan gajah liar itu turut merosakkan 500 anak pokok kelapa sawit milik beberapa peneroka di Felda Kahang Barat yang menyebabkan kerugian ribuan ringgit.
“Malah, rumah saya pernah didatangi kawanan gajah pada Februari lalu sekitar pukul 1 pagi hingga 4 pagi dan kehadirannya disedari kerana terdengar bunyi pokok tumbang.
“Kami sekeluarga takut kerana bimbang gajah itu mengamuk dan memusnahkan rumah, namun mujur haiwan tersebut hanya mencari makanan,” ujarnya.
Asri memberitahu, masalah itu sudah diajukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dan berharap gajah-gajah itu dapat dipindahkan ke habitat baharu bagi memastikan keselamatan penduduk di enam kampung itu lebih terjamin.
“Dahulu masalah gajah liar ini biasa kita dengar berlaku di Kota Tinggi dan Mersing, namun kawanan itu sudah masuk ke kampung-kampung sekitar,” ujarnya.