fbpx

Pemuda cacat mati dipukul kerana telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan mangsa sedang berbincang dengan ahli keluarga kak long taman permainan sebuah pangsapuri di Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam pada Isnin lalu.

SHAH ALAM – Hanya kerana te­lefon bimbit, nyawa seorang lelaki cacat melayang selepas mang­sa dibelasah oleh beberapa ahli keluarga seorang wanita yang dikenali kak long dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Ken Rimba, Seksyen 16 di sini baru-baru ini.

Mangsa, Muhamad Riduan Abdul Samat, 27, seorang pe­ngawal keselamatan sambilan yang dipukul menggunakan kayu dalam kejadian itu meninggal dunia di Hospital Shah Alam (HSA) di sini pada pukul 12.10 tengah malam, Selasa lalu.

Anak kelima daripada enam beradik yang masih bujang tersebut tinggal di pangsapuri itu sejak empat bulan lalu dan kaki ki­rinya tempang akibat kemala­ngan jalan raya 12 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku apabila mangsa mahu menyelesaikan isu berkaitan telefon bimbit jenis Realme milik anak saudara perempuannya yang diambil secara paksa oleh kak long.

Telefon itu dikatakan hanya berharga kira-kira RM400.

Sebelum itu katanya, anak saudara mangsa berusia 17 tahun telah menghubungi abang kan­dungnya berusia 23 tahun pada pukul 10.30 malam, Isnin lalu untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Remaja perempuan itu mendakwa telefon bimbitnya diambil oleh kak long berusia 20-an beberapa hari lalu atas alasan berhutang dengannya. Kak long ialah jirannya yang tinggal di blok bersebelahan.

“Pada malam kejadian, anak saudara mangsa pergi ke taman permainan di pangsapuri itu dan disusuli Muhamad Riduan yang turut mengajak keluarga kak long hadir bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara mang­sa dengan adik lelaki kak long sehingga membawa kepada pergelutan sesama mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Di taman permainan inilah seorang pemuda cacat dibelasah jirannya sebelum maut dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam pada Isnin lalu.

 

Difahamkan, mangsa telah dipukul oleh beberapa ahli keluarga kak long sehingga tersungkur sebelum dileraikan oleh penduduk.

Baharudin berkata, bapa saudara kak long kemudian datang dan memukul belakang badan mangsa beberapa kali menggunakan kayu yang diambil daripada but kenderaannya.

Ketika itu katanya, mangsa tiba-tiba mengalami sesak nafas dan meminta anak saudara lelakinya pulang ke rumah untuk mengambil ubat sakit jantung.

“Lelaki tersebut yang kembali ke lokasi kejadian mendapati bapa saudaranya itu sudah tiada di situ sebelum dimaklumkan te­lah dibawa ke HSA oleh individu yang memukulnya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik anak saudaranya tiba di hospital pada pukul 12.10 tengah malam sebelum membuat laporan di pondok polis HSA,” katanya.

Ekoran kejadian itu, polis menahan lima suspek yang berusia antara 14 hingga 37 tahun di sekitar Shah Alam bermula pukul 7.50 pagi pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, setakat ini kak long masih belum ditahan bagi membantu siasatan kerana wanita terbabit dikatakan telah menghilangkan diri sejak enam hari sebelum kejadian tersebut.

Hasil semakan ke atas semua suspek, empat daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah melibatkan kes samun, curi motosikal dan juga dadah.

“Kejadian ini didapati berpunca daripada seunit telefon bimbit milik anak saudara mangsa yang diambil oleh salah seorang daripada ahli keluarga suspek,” ujarnya.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI