Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SHAH ALAM – Pendatang asing tanpa izin ( PATI ) yang sedang leka bekerja di beberapa buah restoran dan kedai makan di sekitar daerah ini dan Subang Jaya bertempiaran lari apabila diserbu Jabatan Imigresen semalam.
Dalam serbuan bermula pukul 9 malam itu, bagaimanapun usaha kesemua PATI tersebut gagal apabila kesemuanya ditahan susulan kawasan tersebut telah dikepung dan dikejar oleh pihak berkuasa.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mereka telah bekerja dalam tempoh enam hingga setahun lalu.
Katanya, menerusi serbuan berakhir pukul 3 pagi tadi turut menyerbu sebuah rumah kongsi pekerja di Hulu Langat yang kebanyakannya sedang lena tidur.
“Hasil pemeriksaan terhadap 30 yang individu mendapati 20 daripadanya PATI berusia 20 hingga 51 tahun.
“Mereka terdiri daripada lapan warga India, Indonesia ( 7) , Thailand (2) dan seorang warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut sebelum direman selama 14 hari di Depot Imigresen Semenyih.
Mohamad Shukri menambah, pihaknya juga sedang mengesan majikan atau pelindung kepada PATI tersebut.
“Kes disiasat Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya. – K! ONLINE