Oleh SHAARANI ISMAIL
IPOH – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak menafikan mengeluarkan surat pengurniaan darjah kebesaran seperti yang tular di media sosial.
Setiausa Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, surat yang sedang tular berkenaan ‘Pengurniaan Darjah Kebesaran Dan Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Hari Keputeraan Yang Ke-63 Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan’ merupakan surat palsu.
“Pentadbiran ini menafikan sepenuhnya kandungan surat tersebut.
“Surat palsu tersebut yang kononnya dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan menggunakan nama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Perak memaklumkan bahawa penerima surat dikurniakan Darjah Kebesaran Negeri Perak yang membawa gelaran Dato’.
“Ia bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang dikatakan akan diadakan pada 25 September 2020, bertempat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Suaidi berkata, oleh yang demikian, satu laporan polis telah dibuat dan pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, pejabat SUK turut menyeru mana-mana individu yang sudah menerima surat berkenaan supaya dapat tampil ke hadapan bagi membuat laporan polis. – K! ONLINE