KUALA LUMPUR- Pelakon popular, Nazim Othman memberitahu dia telah mengeluarkan wang poket sendiri untuk membeli pakaian sewaktu membintangi drama bersiri Pengantin Satu Malam.
Nazim,36, berkata dia memikirkan sendiri gaya dan konsep untuk watak yang dilakonkannya iaitu Zahred mengikut kesesuaian situasi selepas membaca skrip.
“Setiap persalinan Zahred dipilih mengikut situasi dan karakter yang tertulis dalam skrip.
“Saya berhabis sebanyak RM15,000 untuk kesemua baju yang dipakai untuk 28 episod drama Pengantin Satu Malam dan ya, pelakon di Malaysia kena sediakan sendiri pakaian apabila berlakon,” katanya membalas komen peminat menerusi akaun Instagramnya.
Tambah Nazim, dia tidak merungut dengan hakikat bahawa pelakon perlu menyediakan sendiri pakaian bagi penggambaran drama dan sudah lama menerima situasi tersebut sebagai satu kebiasaan.
“Saya tidak kisah ada yang mengecam kerana sanggup berhabis. Apa yang saya buat adalah atas dasar tanggungjawab serta komitmen,” tulisnya.
Drama rantaian Pengantin Satu Malam lakonan Nazim dan Amelia Henderson merupakan kandungan yang mengisi slot Akasia TV3 setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam. K! ONLINE