SPIELBERG, Austria – Pelumba veteran Yamaha, Valentino Rossi berharap anak didiknya, Francesco Bagnaia akan dipilih menyertai pasukan utama Ducati untuk saingan musim 2021.
Ducati ketika ini sedang mencari pelumba baharu selepas rasmi membawa masuk Jack Miller sebagai pelumba pada saingan 2021 untuk bergandingan dengan Andrea Dovizioso, namun pelumba Itali enggan menyambung kontrak.
Ia sekali gus menyebabkan Ducati memerlukan seorang lagi pelumba untuk mengisi slot yang ditinggalkan oleh Dovizioso dan memiliki pilihan sama ada Bagnaia (Pramac Racing) ataupun Johann Zarco (Reale Avintia Racing).
Ketika aksi di Grand Prix (GP) Styria, Ducati dikatakan telah melakukan perbincangan dengan Bagnaia dan pasukan Itali itu dikatakan menawarkan kontrak dua tahun kepada pelumba berkenaan.
“Jika Bagnaia bersama pasukan Ducati, ia adalah keputusan yang terbaik untuk menggantikan tempat Dovizioso. Pramac merupakan pasukan satelit yang hebat tetapi jika dia bersama pasukan pengeluar, ia pastinya lebih baik.
“Saya berharap dapat melihatnya menyarung sut merah Ducati tahun depan. Sudah pasti ia merupakan peluang yang sangat baik untuknya mengembangkan karier pada tahap yang lebih tinggi,” ujar Rossi.
Dalam saingan perlumbaan MotoGP musim ini, Bagnaia dilihat masih bergelut untuk mendapatkan gaya tunggangan terbaik.
Selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh pada perlumbaan pembukaan di GP Sepanyol, pelumba berusia 23 tahun itu gagal menamatkan perlumbaan empat kali berturut-turut. – AGENSI