MASAKAN Barat sentiasa mendapat tempat di hati rakyat Malaysia yang suka mencuba aneka menu baharu dan ingin bertukar selera.
Bagi penggemar masakan Barat, Red Card Cafe adalah lokasi yang perlu dicuba kerana ia menyediakan 100 menu masakan Barat dengan gabungan cita rasa Asia.
Menurut salah seorang pemilik restoran itu, Shaniza Abdul Aziz, 36, Red Card Cafe telah diusahakan olehnya bersama suami sejak 13 tahun lalu.
“Kami menampilkan keunikan tersendiri iaitu menggabungkan masakan Barat dan Asia dalam satu menu agar ia mudah diterima dengan selera orang Malaysia.
“Resipi di sini merupakan olahan saya dan suami yang banyak menggunakan rempah Asia lantas memberikan rasa sangat unik,” katanya ketika ditemui Horizon baru-baru ini.
Tambahnya, mereka berdua gemar melancong dan mencuba pelbagai makanan. Daripada situ, tercetus ciptaan pelbagai resipi yang disediakan di restoran tersebut.
Di samping mementingkan keenakan makanan, Red Card Cafe sangat menitikberatkan kesegaran dan kualiti bahan-bahan yang disediakan.
Begitu pun, harga yang ditawarkan berpatutan iaitu bermula RM7 sehingga RM58.
Antara menu yang menjadi kegemaran pelanggan restauran tersebut ialah olio seafood, creamy beef pasta, lamb chop, grilled salmon, nasi goreng daging dan salted fish with squid ink pasta.
Menariknya, bagi memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan, restoran itu turut menyediakan masakan selain menu Barat seperti ayam mentega, ayam masak telur masin, tom yam, pad thai dan nasi goreng Redcard.
Ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan ke lokasi pelanggan sama ada dihantar sendiri oleh staf restoran atau menerusi khidmat grab Food atau Food Panda.
Restoran dua tingkat itu turut menyediakan ruang khas untuk mengadakan sebarang majlis di bahagian atas yang boleh memuatkan 50 orang pada satu-satu masa.
“Kami turut menerima pelbagai tempahan acara seperti sambutan hari lahir dan keraikan untuk rakan pejabat.
“Bahagian bawah pula menempatkan ruang makan untuk pelanggan menikmati juadah yang boleh memuatkan 90 orang pada satu-satu masa,” tutur wanita berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang Biologi Molekular dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.
Red Card Cafe juga menerima tempahan katering untuk acara korporat.
Bercerita lanjut mengenai pembukaan restoran itu pada peringkat awal, Shaniza memberitahu, ia merupakan cadangan daripada suaminya yang ingin cuba bekerja sendiri apatah lagi mempunyai minat mendalam terhadap bidang masakan.
“Kami berdua tidak mempunyai latar belakang dalam bidang masakan selain tiada pengalaman bekerja dalam perkhidmatan penyediaan makanan.
“Suami saya belajar dalam bidang sains komputer, tetapi sangat suka memasak dan belajar menerusi Youtube serta daripada pemerhatian sepanjang kami melancong,” terangnya yang berasal dari Bangi, Selangor.
Bertitik tolak daripada situ, pasangan tersebut menempuh pelbagai onak duri dalam bidang perniagaan makanan dalam usia muda.
Kini, berkat kesabaran dan kegigihan mereka, Red Card Cafe sudah dikenali ramai dan mempunyai pelanggan setia.