Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KUALA LANGAT – Menjalankan perniagaan kafe tanpa lesen sejak empat bulan terbongkar selepas premis di Bandar Saujana Putra 21 itu diserbu pihak berkuasa tempatan semalam.
Serbuan pukul 4 petang itu yang dilakukan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mendapati kafe tersebut dikendalikan warga Sudan.
Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim berkata, serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam berhubung perniagaan kafe warga asing yang beroperasi di kawasan tersebut.
Katanya, ketika serbuan hanya seorang pekerja warga Sudan berusia 30an berada di lokasi dan pemeriksaan mendapati pekerja itu mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
“Hasil siasatan turut mendapati premis itu yang telah beroperasi sejak empat bulan lalu dengan beroperasi dari petang hingga larut malam dengan dikunjungi pelanggan warga asing.
“Premis berkenaan disita dan pihak MPKL turut merampas pelbagai barangan termasuk shisha, meja, kerusi, monitor komputer dan amplifier,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Amirul, MPKL tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menjalankan perniagaan di daerah Kuala Langat.
“Saya juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perniagaan warga asing boleh menghubungi MPKL di talian 03 3187 2825 atau Sistem Pengurusan Aduan Selangor. -K! ONLINE