fbpx

Ika Nabella suka berlakon komedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKA NABELLA

KALI terakhir pelakon Ika Nabella membintangi naskhah layar perak adalah sekitar tujuh tahun lalu menerusi filem Tanda Putera.

Selepas sekian lama, kini pelakon berusia 31 tahun itu tampil menerusi filem terbaharu berjudul Takut Ke Tak dengan memegang watak sebagai pelajar kolej berusia awal 20-an.

Ika atau nama lengkapnya Ika Nabila Abdul Rahim menyifatkan penglibatannya dalam filem seram komedi tersebut sebagai satu pengalaman baharu buat dirinya.

Ikuti kupasan bersama pelakon kelahiran Pulau Pinang itu ketika ditemui pada majlis tayangan filem Takut Ke Tak di GSC Mid Valley, baru-baru ini.

IKA NABELLA kini mempunyai seorang anak lelaki yang baru berusia 10 bulan, namun tidak berdepan masalah sekiranya terpaksa bekerja. – AMIR KHALID

 

KOSMO!: Boleh ceritakan mengapa Ika tertarik untuk berlakon filem berkenaan?
IKA NABELLA: Sebenarnya, saya pergi uji bakat untuk filem, bukan ditawarkan secara sendiri oleh pengarah. Ketika membaca skrip, saya dapati selain jalan ceritanya menarik, watak saya sebagai Linda juga sangat berbeza. Dalam filem ini, saya memegang watak seorang pelajar kolej awal 20-an. Tidak sangka rezeki memihak kepada saya meskipun sebenarnya ada ramai lagi pelakon wanita lain hadir ke sesi uji bakat itu.

Berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri, tetapi Ika masih pergi ke sesi uji bakat. Boleh jelaskan?
Sudah tentu. Sebagai pelakon, selama mana pun sudah ada dalam industri, memang sangat digalakkan untuk pergi uji bakat. Lagipun saya tidak pernah bekerja dengan pengarah Muzzamer Rahman.

Bagaimana dengan pengalaman berlakon cerita komedi?
Agak jarang saya berlakon cerita kelakar, jadi bila tengok orang ketawa menonton naskhah ini, saya jadi bangga. Selalunya saya berlakon cerita sarat emosi, sedih dan teraniaya.

Awal-awal dahulu, saya fikir susah untuk bawakan watak komedi sebab takut tidak boleh beri penghayatan. Risau juga rakan-rakan pelakon lain tidak rasa kelakar. Namun hasilnya tidak seperti saya fikirkan sebab pelakon lain semua saling membantu ketika di set. Mungkin selepas ini saya akan dapat lebih banyak naskhah komedi, tidak perlu lagi untuk keluarkan air mata (ketawa).

Bagaimana perkembangan karier dalam era Covid-19?
Alhamdulillah, sekarang saya sambung penggambaran untuk projek yang terhenti disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan. Akan datang, ada beberapa projek drama dan telefilem.

Dalam keadaan Covid-19 yang belum pulih, adakah anda risau untuk keluar bekerja?
Memang sangat risau. Bukan setakat sebab ada anak kecil di rumah, tetapi untuk diri sendiri pun saya sangat bimbang. Lebih-lebih lagi sebelum ini, rakan pelakon yang terlibat dalam drama Demi pernah dijangkiti Covid-19.

Saya seorang yang sangat paranoid. Jadi, setiap masa saya sangat menjaga keselamatan diri ketika keluar bekerja. Selepas pulang bekerja, saya akan mandi dan bersihkan badan sebelum pegang anak.

Bagaimana perjalanan karier selepas memiliki anak?
Saya masih bekerja seperti biasa. Meskipun anak baru berusia 10 bulan, tetapi ada pengasuh yang menjaganya. Saya tidak pernah tinggalkan dia berdua bersama pengasuh, sebaliknya akan hantar mereka ke rumah mertua.

Jadi, saya tidak risau sekiranya tinggalkan anak untuk keluar bekerja. Dari segi tawaran pula, saya hanya akan terima sekiranya produksi berikan ruang untuk saya mengepam susu. Sebab anak saya masih menyusu badan. Buat masa sekarang, saya sangat bersyukur sebab bekerja dengan produksi yang memahami keadaan saya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI