CARDIFF – Ketua jurulatih Wales, Ryan Giggs menyenaraikan bintang Real Madrid, Gareth Bale dalam skuadnya menjelang aksi Liga Negara-Negara Eropah bulan depan.
Meskipun jarang diturunkan bersama Real musim lalu, namun Giggs tidak bimbang dengan tahap kecergasan kapten Wales itu untuk mengetuai pasukan The Dragons.
Walaupun mencetuskan persoalan berhubung pemilihan Bale ke dalam pasukan, namun Giggs memiliki alasan tersendiri mengapa beliau memanggil bekas pemain Tottenham Hotspur itu.
“Seperti saya cakap sebelum ini, saya mahu pemain-pemain yang sudah biasa dengan corak permainan Wales dan Bale sudah biasa dengan keadaan tersebut.
“Dia bermain dalam semua aksi kelayakan sebelum ini, jadi tidak ada masalah untuk dia sesuaikan diri. Apabila dia menyertai kem latihan, dia tidak pernah mencetuskan masalah,” kata Giggs.
Pada masa sama, legenda Manchester United itu percaya, Bale adalah pemain yang profesional dan boleh menjaga sikapnya, namun beliau tetap berwaspada dengan sebarang kemungkinan.
“Bale seorang pemain berpengalaman dan profesional, itu sudah memadai untuk saya. Kita tunggu dan lihat sahaja nanti tetapi buat masa ini saya tidak ada masalah dengan Bale dan kami boleh bekerjasama dengan baik,” ujarnya. – AGENSI