Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC)
mengemukakan 49 syor kepada kerajaan bagi menambah baik sistem dan proses pilihan raya di negara ini.
Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, laporan mengandungi syor itu diserahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Menara Parlimen, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya diberi tempoh dua tahun bagi menyelesaikan kajian dan mengemukakan sebuah laporan mengandungi cadangan-cadangan reformasi pilihan raya kepada kerajaan.
“Saya mendapat jaminan daripada Perdana Menteri bahawa beliau akan segera mengkaji dan melihat syor yang dikemukakan itu.
“Kami tidak pasti bila kerajaan akan melaksanakan syor yang dikemukakan itu dan ia terserah serta terpulang kepada kerajaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, pihaknya berharap semua pihak akan dapat melunaskan syor berkenaan sekali gus membolehkan sistem, proses dan undang-undang pilihan raya di negara setanding dengan amalan demokrasi di peringkat antarabagsa. -K! ONLINE