PERPINDAHAN penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid ke kelab Liga Premier Portugal, Portimonense SC hujung musim ini tidak mengejutkan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Bekas jurulatih Kedah itu berkata, beliau sudah lama menjangkakan pasukan-pasukan luar negara akan cuba mendapatkan khidmat Safawi berdasarkan aksi yang ditampilkan.
Tambah beliau, perpindahan pemain kelahiran Terengganu itu ke saingan luar negara tepat pada masanya kerana menganggap Safawi sudah berkembang sebaiknya serta matang.
“Sejujurnya saya tidak terkejut dengan berita ini kerana saya sentiasa percaya dia akan mendapat peluang untuk beraksi serta timba pengalaman di liga yang lebih baik.
“Kita sudah ada pemain yang beraksi di liga luar seperti Luqman (Hakim) dan Dominic (Tan). Selepas ini, saya mahu lihat pemain kita dalam Liga Jepun pula,” kata Cheng Hoe.
Jurulatih berusia 52 tahun itu menganggap aksi Safawi bersama skuad negara serta JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menjadi faktor yang menarik minat kelab Portugal tersebut.
Pada masa sama, Cheng Hoe percaya penghijrahan pemain-pemain tempatan ke liga luar negara bakal memberikan impak positif kepada skuad Harimau Malaya.
“Saya berpendapat kelab itu memang sudah pantau prestasinya bukan sahaja bersama skuad negara, malah ketika menyarung jersi JDT dalam saingan ACL.
“Sebenarnya, lebih ramai pemain negara di luar negara bakal beri impak positif terhadap skuad Harimau Malaya. Safawi pula bakal beraksi dalam salah satu liga terbaik dunia yang pernah melahirkan Cristiano Ronaldo,” ujarnya. – K! ONLINE