NEW DELHI – Seorang kanak-kanak lelaki berasa bangga kerana lahir dengan 12 jari tangan dan lebihan anggota itu membantunya muncul juara dalam beberapa permainan video, lapor akhbar Daily Mail.
Faizan Ahmad Najar, 12, dilahirkan dengan simptom yang dipanggil hexadactyly, bermaksud enam angka atau jari keenam. Keadaan itu lazimnya berlaku pada setiap seorang daripada 1,500 bayi yang lahir di dunia.
Dia mendakwa lebihan jari itu membantunya memenangi permainan video seperti Free Fire Clash Squad, lebih pantas memanjat pokok atau sukan kriket dengan lebih cemerlang.
“Saya berbangga dengan keadaan ini dan tidak berasa malu kerana ini adalah pemberian Tuhan,” katanya yang berasal dari Perkampungan Sheeri Baramulla, wilayah Kashmir yang ditadbir kerajaan India.
Ibu bapanya pernah menolak saranan doktor untuk dia menjalani pembedahan membuang lebihan jari yang tumbuh pada kedua-dua ibu jarinya.
Ibu Faizan, Hafeeza berkata, keluarganya pernah ditawarkan peluang pembedahan bagi membuang tambahan jari semasa budak itu berusia dua tahun tetapi enggan berbuat demikian.
“Kami ada bertemu pengamal perubatan tradisional dan dia menyatakan jika dibedah, Faizan mungkin hilang daya penglihatan dan kami memilih untuk menolak cadangan pembedahan,” katanya.
Faizan berkata, dia bercitacita menjadi doktor supaya dapat merawat kanak-kanak senasib dengannya agar mereka tidak menjadi mangsa buli.
Seorang pakar perubatan, Mushtaq Ahmed berkata, kecacatan pada Faizan yang terbentuk semasa dalam rahim ibu boleh berlaku kepada sesiapa walaupun tidak pernah berlaku pada ibu bapa mereka. – AGENSI