Oleh IVAN AMIRUL
SANDAKAN – Seramai 379 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina diusir ke negara asal menaiki kapal dari pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina hari ini.
Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pengusiran berkenaan adalah siri ke-24 yang dilaksanakan menerusi jalan laut bagi tahun ini melibatkan PATI Filipina dan Indonesia.
Beliau berkata pelaksanaan pengusiran terbabit sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran PATI sepanjang tahun 2020 adalah seramai 6,024 orang.
“Semua PATI yang dihantar pulang sudah dipastikan berada dalam keadaan sihat untuk diusir sebagai salah satu langkah memutuskan rantaikan jangkitan Covid-19.
“Sekiranya ada tahanan yang didapati sakit, mereka akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Filipina atas kerjasama diberikan sepanjang proses terbabit.
Katanya, usaha membasmi PATI tidak akan terhenti selagi masalah kebanjiran PATI masih wujud di seluruh negeri. – K! ONLINE