Oleh ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU – Polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran pil kuda selepas merampas 24,000 pil kuda bernilai RM240,000 selain menahan lima invidu termasuk pasangan suami isteri dalam serbuan berasingan di Machang kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, dua sindiket tersebut menggunakan modus operandi sama iaitu menaiki kereta untuk mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah di bawah tempat duduk pemandu.
Katanya, polis menahan dua rakan lelaki berusia 25 dan 35 tahun dalam kereta di Jalan Padang dekatvMachang pada pukul 7 malam dalam serbuan pertama.
Menurutnya, dua lelaki itu ditahan sewaktu mereka menaiki kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah premis.
“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik melakukan pemeriksaan dalam kereta sebelum menjumpai dua bungkusan disyaki pil kuda sebanyak 12,000 biji anggaran RM120,000.
“Suspek yang juga positif dadah jenis Methamphetamine dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga merampas wang tunai sebanyak RM5,000 daripada suspek terbabit.
Menurut Shafien, serbuan kedua dijalankan satu jam 30 minit kemudian selepas menahan sepasang suami isteri di dalam kereta jenis Peroda Myvi di tepi jalan di Kampung Bukit Tiu di Machang.
“Pemeriksaan terhadap mereka membawa kepada penemuan dua bungkusan dadah dengan jumlah yang sama iaitu 12,000 biji pil kuda RM120,000 yang diletakkan di bawah tempat pemandu.
“Siasatan mendapati suspek sedang menunggu seseorang dipercayai untuk urusan jual beli dadah bagi pasaran daerah itu. Kita juga percaya suspek aktif menjalankan kegiatan pengedaran pil kuda itu sejak tiga hingga lima bulan lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini – K! ONLINE