fbpx

K2

Zaharuddin ilmuwan kewangan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAHARUDDIN bersama dua bukunya yang banyak dijadikan rujukan dalam bidang kewangan Islam.- FOTO FARIZ RUSADIO

“Alangkah ruginya aku, aku hidup sezaman dengan ulama sehebat ini, namun aku melepaskan peluang untuk menuntut ilmu secara langsung dengannya. Terbayang betapa ruginya orang Islam yang sezaman dengan Rasulullah tetapi tidak berpeluang bertemunya, sezaman dengan Imam Shafie, Malik, Al-Bukhari dan lain-lain tetapi tidak menuntut ilmu daripadanya.”

Itu getusan yang sering bertandang di dalam hati Dr. Zaharuddin Abd. Rahman setiap kali membaca buku-buku nukilan ulama tersohor dunia, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi. Sejak bergelar mahasiswa lagi, hasrat untuk menuntut ilmu dengan cendekiawan ulung itu sentiasa membuak-buak dalam sanubarinya.

Yusuf Al-Qaradawi adalah seorang cendekiawan Islam dari Mesir dan beliau banyak menghasilkan karya ilmiah sehingga menjadi rujukan ramai pihak.
Impian Zaharuddin menjadi realiti pada tahun 2010 apabila dia berjaya mengikuti kursus intensif bagi mendapatkan Ijazah Ilmiah Yusuf Al-Qaradawi di Qatar.

“Seminggu lebih saya berguru dengan beliau di Qatar dan mengkaji tentang pelbagai kitabnya. Bagi saya, pemikiran Yusuf Al-Qaradawi harus difahami kerana beliau antara cendekiawan Islam yang fatwanya berjejak ke bumi dengan sandaran kukuh dari al-Quran dan sunnah serta kaedah usul fiqh yang jitu,” kata Zaharuddin, 45, kepada K2 tentang pengalaman berharganya yang berkesempatan menuntut ilmu dengan tokoh yang disifatkan sebagai mentornya itu.

Menurutnya, semasa mengikuti kursus tersebut, Zaharuddin satu-satunya wakil dari Malaysia.

Menyoroti personalitinya, Zaharuddin ialah seorang pakar kewangan Islam terkenal di negara ini. Mempunyai seramai lebih 1 juta pengikut di laman Facebook, Zaharuddin merupakan seorang ustaz yang cukup terkenal di media sosial.

Keupayaannya mendapatkan ramai pengikut dalam kalangan anak muda biarpun dirinya bukan seorang ustaz selebriti yang gemar berjenaka membuktikan seorang ilmuwan agama yang membincangkan topik serius seperti kewangan Islam juga mempunyai pengaruh tersendiri.

Zaharuddin hakikatnya bukanlah satu nama asing dalam sistem kewangan Islam di negara ini, malahan dia sudah lebih 20 tahun terlibat dalam industri tersebut.

Anak kelahiran Muar, Johor itu mendedahkan, pada mulanya dia tidak meminati jurusan kewangan Islam biarpun menggemari bidang keagamaan.

Namun, semuanya berubah setelah dia melihat kurangnya agamawan yang menguasai bidang tersebut.

“Sukar untuk melihat agamawan yang membicarakan tajuk-tajuk berkaitan kewangan Islam ketika menyampaikan ceramah di masjid-masjid. Kebiasaannya, tajuk-tajuk yang sering dibicarakan adalah berkaitan ibadah, nikah dan lain-lain.

“Melihat akan kekosongan itu, saya mengambil keputusan untuk memaksa diri mendalami ilmu berkaitan kewangan Islam bagi memberi manfaat terbesar kepada umat Islam di negara ini khususnya,” katanya.

Itulah sebabnya Zaharuddin mendalami bidang tersebut dengan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang syariah dan kewangan Islam di Universiti Wales, Britain.

Mengimbas latar pendidikannya, Zaharuddin menjelaskan, dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ismail 2, Muar sebelum ke Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan.

Setelah tamat persekolahan menengah, dia kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang usuluddin di Universiti Malaya.

“Setelah tamat pengajian, saya tidak menganggur lama apabila ditawarkan bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat motivasi selama tiga tahun,” katanya.

Tesis

Bagi Zaharuddin, menuntut ilmu tiada penghujungnya. Atas sebab itu, dia mengambil keputusan untuk merantau ke Jordan bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Yarmouk dalam bidang syariah.

Tesis Sarjana tulisannya, Maqasid Al-Syariah Dalam Hukum Fiqh Jual Beli juga telah diterbitkan penerbit dari negara-negara Arab seperti Jordan dan Lebanon. Ia kemudian turut tersebar di Malaysia.

Setelah tamat pengajian, dia pulang ke tanah air dan bekerja sebagai perunding syariah di beberapa syarikat antaranya RHB Islamic Bank Berhad dan Asia Finance Bank Berhad (Konsortium yang diketuai oleh Qatar Islamic Bank).

Beberapa tahun kemudian Zaharuddin menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Wales pada tahun 2007.

Tegasnya, melanjutkan pelajaran di negara orang bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan dia sendiri pernah menjadi mangsa diskriminasi beberapa orang Arab ketika di Jordan.

“Mereka amat memandang rendah orang luar yang bukan berdarah Arab dan saya pernah dianaktirikan dalam kelas, diabaikan oleh pensyarah dan bermacam lagi.

“Ketika di Wales juga saya tidak terlepas daripada menghadapi masalah ini kerana terpaksa berjiran dengan jiran yang tinggi semangat perkauman dan sering mencetuskan provokasi setelah mengetahui saya orang Asia dan beragama Islam,” katanya.

Tambahnya, dia berlapang dada dan menganggap itu merupakan satu ujian daripada Allah dan keadaan itu telah membantu saya menamatkan pengajian secepat mungkin.
Setelah selesai pengajian di Britain, Zaharuddin pulang ke tanah air dan menjawat jawatan sebagai pensyarah di UIAM selama enam tahun.

Pada tahun 2017, Zaharuddin melepaskan jawatan sebagai pensyarah bagi membolehkan dia membuka syarikat sendiri iaitu Elzar Group.

Di bawah Elzar Group, dia menceburi beberapa cabang perniagaan melalui syarikat-syarikatnya Elzar Shariah Solution Sdn. Bhd., Elzar Trading Sdn. Bhd., Elzar Resources. Sdn. Bhd. dan lain-lain lagi.

Zaharuddin turut menjadi penasihat syariah kepada beberapa syarikat terkemuka antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Exim Bank Berhad, Salam Sedania Capital Sdn. Bhd. dan lain-lain lagi.

Dia juga pernah menjadi perunding syariah Bank Negara Malaysia.

Zaharuddin turut aktif menulis buku dan sehingga kini lebih 21 buah buku telah dihasilkan. Daripada jumlah itu, kira-kira 10 buku adalah berkaitan kewangan Islam.

“Buku-buku hasil tulisan saya pernah diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab. Buku-buku ini turut diedarkan di beberapa negara lain.

“Menulis salah satu minat saya dan saya mula menulis sejak menuntut di Jordan lagi. Bagi saya, melalui penulisan, saya dapat berkongsi ilmu yang saya ada dan apabila meninggal dunia kelak, sekurang-kurangnya ada legasi dan manfaat yang saya tinggalkan untuk rujukan orang,” tuturnya.

Dalam pada itu, pada tahun 2012, Zaharuddin telah mengambil inisiatif menubuhkan pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid) yang menghimpunkan puluhan tokoh agama dalam negara untuk melaksanakan dakwah Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI