NEW YORK – Rangkaian makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC) tidak akan menggunakan slogan popularnya berikutan pandemik koronavirus yang sedang melanda dunia, lapor portal berita tmz.com kelmarin.
“Sehubungan itu, Kolonel Sanders tidak lagi akan memuji resipi rahsia untuk ayam gorengnya sebagai ‘finger lickin good’ (‘sedap sehingga menjilat jari’),” kata KFC sekali gus menggantung slogan berkenaan selepas 64 tahun.
Langkah itu bermula kelmarin, hampir enam bulan selepas pandemik Covid-19 mula merebak ke seluruh dunia, manakala pegawai-pegawai kesihatan menggesa orang ramai agar tidak menyentuh muka mereka bagi melambatkan penularan virus tersebut.
KFC menyatakan, slogan ‘sedap sehingga menjilat jari’ tidak lagi sesuai dengan persekitaran masa kini dan memansuhkannya di banyak negara.
Di serata Britain dan Ireland, KFC mengaburkan frasa ‘finger licking’ pada bekas ayamnya, tetapi tidak memadamkannya semua sekali.
“Slogan ini akan kembali semula apabila tiba waktu sesuai nanti,” kata KFC. – Agensi