SHAH ALAM – Selepas tiga tahun menanti, pelakon Serina Redzuawan, menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan dia mendapat hak penjagaan kekal anak keduanya, Isabella Saffiya O’luanaigh yang berusia sembilan tahun.
Hakim Syarie Salehan Md. Yatim membuat keputusan itu selepas mahkamah meneliti fakta dan berpuas hati dengan permohonan yang dikemukakan Serina,36, selaku pemohon untuk mengubah perintah hadanah (hak penjagaan anak) kekal.
Bagaimanapun mahkamah memutuskan bekas suami Serina, Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar,43, selaku responden mendapat hak penjagaan kekal terhadap anak sulung lelaki mereka, Tristan Tareef O’luanaigh,10.
Dalam prosiding itu, Serina hadir diwakili peguam syarie Datuk Seri Amli Embong manakala Gavin diwakili peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Turut hadir dalam prosiding itu, bapa Serina Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.
Sementara itu, Serina ketika ditemui selepas prosiding berkata, dia lega dengan keputusan mahkamah namun agak sedih apabila anak-anaknya terpaksa berpisah antara satu sama lain.
“Apa pun saya bersyukur kerana mahkamah telah memberikan keputusan terbaik apabila saya mendapat hak jagaan anak perempuan manakala Gavin mendapat hak jagaan anak lelaki. Mahkamah buat keputusan ini mungkin tidak mahu berlaku lagi pergaduhan.
“Saya juga bersyukur perintah penjagaan kedua-dua anak yang dijaga Gavin sebelum ini telah dibatalkan,” katanya.
Serina memfailkan permohonan untuk mengubah perintah hadanah kekal pada 26 Februari 2018 atas alasan antaranya Gavin yang juga warga Britain itu tidak mengamalkan hidup secara Islam dan bimbang anak-anaknya akan murtad.
Pada masa sama Serina juga khuatir anak-anaknya akan dibawa keluar dari Malaysia memandangkan keluarga bekas suaminya itu berada di London.
Pada Julai 2018, mahkamah sama menolak permohonan Serina untuk mendapatkan hak jagaan sementara dua anaknya itu kerana telah ada hak penjagaan kekal yang dipersetujui bersama sebelum ini.
Mahkamah juga turut menegah Serina dan Gavin membawa anak-anak mereka ke luar negara walaupun Serina memohon mahkamah tidak membenarkan bekas suami sahaja membawa anak ke luar negara.
Sebelum ini Serina telah memberikan hak penjagaan kekal dua anaknya itu kepada Gavin melalui satu penghakiman persetujuan berdasarkan beberapa syarat dan terma lawatan yang telah dipersetujui bersama.
Serina dan Gavin berkahwin pada 1 Januari 2010 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak Tristan Tareef dan Isabella Saffiya. -K! ONLINE