fbpx

[VIDEO] Polis buru dua suspek kes curi tabung tiga masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelibat salah seorang suspek sedang memecah tabung yang dirakam CCTV salah sebuah masjid yang dipecah masuk di Kemaman baru-baru ini.

KEMAMAN – Dua lelaki yang disyaki aktif dalam kegiatan melarikan tabung beberapa masjid di daerah ini kini diburu polis.

Setakat ini, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dipercayai telah mencuri tabung di sekurang-kurangnya tiga masjid di daerah ini melibatkan kerugian lebih kurang RM2,000.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tiga masjid terlibat ialah Masjid Sultan Ahmad, Chukai serta Masjid Labohan dan Masjid Kampung Gelugor, Kerteh di sini.

“Dua suspek yang dipercayai orang tempatan itu turut disyaki melarikan sebuah televisyen yang ditempatkan di Masjid Kampung Gelugor dalam kejadian baru-baru ini.

“Mereka juga dipercayai menaiki kereta jenis Perodua Viva yang menggunakan nombor pendaftaran palsu sewaktu melakukan perbuatan jenayah terbabit di ketiga-tiga masjid berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, siasatan awal mendapati modus operandi dua suspek itu ialah akan memasuki masjid sasaran sewaktu tiada jemaah di rumah ibadat itu pada awal pagi.

Tambah beliau, orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat berhubung kes kecurian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Kemaman di talian 098592222 untuk membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI