Oleh NUR NAZLINA NADZARI
KANGAR – Perigi Diraja di Kota Kayang, Kuala Perlis di sini yang pernah digunakan sebagai sumber air bersih oleh Sultan Kedah ke-15 dan ke-21 kembali mengeluarkan mata air selepas terbiar selama 40 tahun.
Penemuan semula perigi di dalam kawasan muzium itu sekali gus mengukuhkan lagi sejarah mengenai kewujudan Kota Kayang sebagai kota pemerintahan kerajaan Kedah pada suatu ketika dahulu.
Pengarah Muzium Kota Kayang, Raja Suriaty Raja Ahmad berkata, sebelum ini perigi yang berkedalaman 4.5 meter itu tertimbus dengan batu dan tanah selepas tidak lagi digunakan apabila sistem paip diperkenalkan pada tahun 1980-an.
“Menurut penduduk kampung dan penulis sejarah Perlis, Alwi Sudin pada 1994, memang terdapat sebuah perigi di kawasan ini.
“Bagi membuktikan sejarah kewujudan kota ini, pihak muzium mengorek semula kawasan yang dikatakan wujudnya perigi pada 9 Mac lalu,” katanya di sini baru-baru ini.
Katanya, kira-kira 30 orang termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung bergotong-royong menggali kawasan berkenaan.
Pembesar yang menggunakan perigi itu ialah Sultan Kedah ke-15, Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Syah Ibni Sultan Muhyiddin Mansor Syah yang dikenali sebagai Al-Marhum Kayang I (1661-1687).
Sultan Kedah ke-21 iaitu Sultan Dhiauddin Mukarram Syah Ibni Sultan Mohammed Jiwa Zainal Azilin Muazzam Syah II (1797-1804) yang mendapat gelaran Al-Marhum Kayang II juga pernah menggunakan perigi tersebut.
Jelasnya, berdasarkan maklumat penduduk kampung, perigi itu tidak tidak pernah kering walaupun ketika musim kemarau.
“Penduduk termasuk yang tinggal di Kuala Perlis akan datang ke kawasan ini untuk mengambil air di perigi itu,” katanya.