ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
JERANTUT – Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Darul Ehyail Maarif Hulu Cheka yang sedang mengikuti pembelajaran hari ini gempar apabila bilik asrama pelajar lelaki, kelas dan dewan mini sekolah berkenaan terbakar hari ini.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu menyaksikan api bermula dari blok asrama lelaki dan kemudiannya merebak ke dewan mini dan dua buah kelas berdekatan.
Bagaimanapun kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa apabila seramai 61 orang pelajar lelaki dan wanita serta 15 orang guru di sekolah tersebut sedang mengikuti sesi pembelajaran.
Seorang guru, Mohammad Khuzaifah Ramli berkata, beberapa orang pelajar memberitahu mereka terdengar bunyi bisinh di bilik asrama lelaki berdekatan sebelum api mula merebak.
“Kami bergegas ke asrama dan kelihatan api mula membakar dan asap berkepul menyebabkan suasana menjadi gempar. Guru di sini bertindak mengarahkan pelajar mengosongkan kelas masing-masing dan menjauhi tempat kejadian serta berada di tempat yang selamat.
“Kita sempat memindahkan al-Quran, kitab agama dan peralatan kerusi meja keluar ke tempat yang selamat sebelum menanti ketibaan anggota bomba untuk memadamkan api,” katanya di Hulu Cheka hari ini.
Menurut Mohammad Khuzaifah, pihaknya tidak sempat menyelamatkan barang milik pelajar lelaki yang terbakar di asrama kerana api marak dengan begitu cepat. -K! ONLINE