Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SHAH ALAM- Tindakan tegas akan dikenakan kepada majikan yang tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), berkuatkuasa 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, peruntukan itu lengkap melibatkan perumahan, penginapan dan kemudahan lain yang sesuai untuk pekerja sesebuah syarikat.
Katanya, anggota Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan membuat pemantuan di beberapa penginapan pekerja yang disediakan oleh pihak syarikat bagi memastikan mereka mematuhi akta berkenaan.
“Sekiranya majikan gagal patuhi peruntukan akta ini, mereka boleh didenda sebanyak RM50, 000 bagi setiap kesalahan,” katanya pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan lawatan kerja di Menara Top Glove, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, Saravanan berkata, sistem E-Wages, iaitu sistem penggajian pekerja asing yang baru akan dikuatkuasakan secepat mungkin pada tahun ini.
“Melalui sistem ini, kita boleh memantau pembayaran gaji pekerja asing yang dibuat oleh pihak majikan.
“Apabila kita bercakap mengenai membela nasib pekerja, ia tidak semestinya berkaitan kemudahan penginapan, tetapi termasuk juga dari segi pembayaran gaji,” tegasnya.
Mengulas mengenai isu sekatan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat terhadap produk sarung tangan Top Glove, Saravanan menegaskan perbincangan masih dilakukan dengan Top Glove bagi mencari jalan penyelesaian bagi isu tersebut. -K!ONLINE