fbpx

Maddison setia bersama Leicester

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MADDISON memilih untuk kekal selama empat tahun lagi bersama Leicester kerana gembira dengan layanan baik diberikan pengurusan dan penyokong-penyokong pasukan itu. – AFP

LONDON – Pemain tengah Leicester City, James Maddison menandatangani kontrak lanjutan baharu bersama pasukan itu untuk kekal sehingga 2024 dengan tawaran gaji sebanyak £100,000 (RM546,500) seminggu.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi melibatkan Maddison yang sebelum ini dilaporkan mendapat tawaran daripada beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Manchester United dan Arsenal.

Maddison, 24, menjelaskan, dia tidak berdepan masalah untuk memutuskan masa depan­nya di Stadium King Power selama empat tahun lagi dan kini bersedia mengulangi aksi cemerlang ditampilnya bersama The Foxes musim lalu.

“Saya gembira apabila diberi tawaran baharu oleh pihak pengurusan untuk kekal di sini sehingga 2024. Ia adalah detik bersejarah buat saya secara peribadi kerana Leicester kini berada pada landasan yang terbaik.

“Banyak perkara positif pihak pengurusan telah lakukan sejak tiba di sini pada 2018. Saya cukup teruja untuk terus menjadi sebahagian daripada kelab ini, jadi tiada alasan untuk saya berhijrah menyertai pasukan lain,” katanya.

Sebagai rekod, Maddison dianggap sebagai salah seorang pemain bertaraf bintang kekal bersama Leicester selain penyerang utama, Jamie Vardy yang muncul penjaring terbanyak saingan EPL musim lepas.

Skuad kendalian Brendan Ro­gers itu yang akan beraksi dalam saingan Liga Europa musim depan, bakal memulakan kempen baharu EPL menentang West Bromwich Albion di The Hawthorns pada 12 September ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI