fbpx

Kesombongan bibit kezaliman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

 

Baru-baru ini beredar di laman sosial rakaman video seorang lelaki yang mempunyai masalah mental dipukul beramai-ramai di Pulau Pinang.

Mangsa dikatakan melanggar beberapa kenderaan sebelum dia ‘dihambat’ dan dipukul sekumpulan individu di hadapan rumahnya hingga cedera pada muka.

Menurut laporan polis, mangsa kemudiannya disahkan oleh pihak Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Bukit Mertajam adalah seorang pesakit mental. 

Dalam rakaman video tersebut jelas didengari ada pemukulnya mendakwa serta menuduh mangsa dalam keadaan mabuk hingga melanggar kenderaan lain.

Kejadian itu sudah terlanjur berlaku. Pelakunya mungkin menyesal sekiranya mengetahui kondisi sebenar mangsa. Perbuatan memukul tersebut semestinya menimbulkan kesan trauma kepada mangsa.

Kita dikelilingi masyarakat yang gemar menghukum. Sedar atau tidak, perkataan yang diucap serta ayat yang dimuat naik di laman sosial juga mampu ‘mencederakan’ orang lain.

Jika tidak kena pada mata mereka, maka perkara itu digembar-gemburkan, diadu-domba hingga tanpa sedar mewujudkan masalah lain pula.

Wajarlah kita mengambil iktibar kisah cendekiawan Islam, Hasan al-Basri ketika beliau berada di tepi tebing Sungai Tigris, Iraq (turut dikenali sebagai Sungai Dajlah) telah melihat seorang pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita.

Di sisi dua individu tersebut terdapat sebotol arak. 

Terdetik dalam hati Hasan al-Basri betapa buruknya akhlak pemuda berkenaan.

Ahli sufi itu juga berasa alangkah baiknya jika pemuda itu seperti dirinya maka dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik. Bagaimanapun, tidak semena-mena sebuah perahu karam di sungai tersebut.

Pemuda yang disangka pemabuk itu terjun ke sungai dan berjaya menyelamatkan enam penumpang perahu berkenaan, manakala seorang lagi masih terkapai-kapai hampir kelemasan.

Pemuda itu berkata kepada Hasan al-Basri, “Wahai tuan, jika engkau lebih mulia daripadaku, maka selamatkanlah seorang yang aku tidak sempat selamatkan itu.”

Namun Hasan al-Basri gagal menyelamatkan mangsa tersebut. Kata pemuda itu lagi, “Wahai tuan, perempuan yang duduk di sebelah aku ini adalah ibuku, air di dalam botol ini adalah air biasa dan aku bukan peminum arak.”

Hasan al-Basri terkejut dengan perkara itu seraya berkata, “Selamatkanlah aku seperti mana engkau selamatkan enam orang yang tenggelam tadi. Aku tenggelam dalam kebanggaan dan rasa sombong.”

Demikian sedikit kisah perjalanan kerohanian ahli sufi tersebut yang biografinya turut dimuatkan dalam Ensiklopedia Britannica oleh penulis David A. Ede.

Jadi penulis berpendapat, hati yang ‘terlena’ dengan kesombongan akan menerbitkan perkataan dan perbuatan yang zalim.

Mohon para pembaca mendoakan anak syurga, Muhammad Adam Rizqi M. Azrul Ridzuan yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usus dan paru-paru kira-kira dua minggu lalu. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI