Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang merangka langkah lebih drastik untuk menangani masalah kemiskinan yang masih membelenggu 198,000 masyarakat Orang Asli yang tinggal di 856 buah kampung seluruh negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Profesor Dr. Juli Edo berkata, pihaknya juga sedang menyusun program yang lebih berkesan untuk Orang Asli keluar daripada garis kemiskinan.
Katanya, Orang Asli masih tidak keluar daripada garis kemiskinan dan kadar pendapatan B40 juga semakin meningkat walaupun tumpuan mereka dalam bidang pertanian.
“Kita kena mencari pendekatan baharu untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi Orang Asli supaya tidak bergantung kepada tanaman tunggal sahaja untuk membiayai sara hidup keluarga mereka.
“Kita juga akan melatih masyarakat Orang Asli ke arah hidup lebih berdikari dan tidak mengharapkan bantuan berterusan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai usaha untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli, katanya, Jakoa sentiasa mengadakan program untuk meningkatkan ekonomi mereka.
Katanya, bagaimanapun, program itu perlu dinilai semula dengan menggunakan model baharu kerana keberkesanannya kurang dalam meningkatkan pendapatan Orang Asli. – K! ONLINE