Oleh SHAARANI ISMAIL
IPOH – Semua pengerusi masjid dan surau di kawasan yang terlibat secara langsung pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Sabtu ini diingatkan supaya tidak membenarkan masjid dan surau dijadikan sebagai lokasi kempen.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, selain itu parti politik yang bertanding juga diingatkan supaya tidak menggunakan masjid dan surau untuk tujuan berpolitik sepanjang kempen PRK ini berlangsung.
“Saya pohon kerjasama pengerusi masjid dan surau di kawasan PRK DUN Slim supaya tidak membenarkan sebarang aktiviti politik khususnya kempen pilihan raya.
“Semua parti politik juga diingatkan agar tidak menggunakan premis berkenaan bagi maksud tersebut.
“Seruan ini merupakan peringatan yang berulang kali disebut oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Yusop berkata, Sultan Nazrin seringkali mengingatkan rakyat Perak supaya tidak sekali-kali mengggunakan masjid dan surau dalam perkara yang membabitkan isu politik dan seharusnya ia perlu dihormati.
Katanya, dengan tempoh kempen yang sudah masuk ke penghujung, peringatan itu perlu bagi memastikan masjid dan surau di negeri ini tidak dicemari dengan kempen politik yang tidak sepatutnya. – K! ONLINE