KUALA LUMPUR – Seorang pesara polis berpangkat sarjan dilanda kekesalan berpanjangan setiap kali mengenangkan tragedi diserang hendap oleh komunis hingga mengakibatkan dia kehilangan dua rakan baik dalam pertempuran sengit di Kroh, dekat Hulu Perak 52 tahun lalu.
Shaari Che Mat, 78, berkata, dia begitu ralat kerana gagal membantu rakan-rakan bukan kerana takut tetapi akibat tidak berpeluang membalas tembakan ketika berlindung daripada hujan peluru komunis yang datang dari pelbagai arah.
Mengimbau semula kejadian itu, Shaari berkata, insiden berdarah pada pukul 5 petang 17 Jun 1968 di Kroh dekat Hulu Perak itu menyebabkan 16 anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) terkorban manakala 17 lagi parah.
“Ketika itu saya dan enam rakan dari platun 11, Kompeni C dari Batalion Kedua PPH Ulu Kinta dalam perjalanan pulang ke kem di Betong, Thailand untuk mengambil bekalan keselamatan di Sungai Petani, Kedah kerana risikan memaklumkan komunis akan menyerang.
“Kami kemudian bertemu dengan Batalion Pertama PPH di sebuah kem di Kroh sebelum bergerak secara konvoi dengan trak kami berada di belakang. Dalam perjalanan mereka telah singgah di pekan Kroh manakala kami meneruskan perjalanan.
“Ketika itu kami sudah berada di depan dan mereka menyusuri di belakang pula. Sebaik tiba di check point imigresen Thailand yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pekan Kroh, kami dikejutkan dengan bunyi tembakan sebaik melepasi check point itu,” ceritanya kepada Kosmo!.
Shaari yang mula berkhidmat pada 1962 berkata, tembakan bertubi-tubi komunis yang disasarkan kepada anggota konvoi di belakang telah menyebabkan dia dan enam rakannya terjun dari trak untuk berlindung di tebing.
“Hujan peluru itu berlangsung selama 20 minit. ketika serangan memasuki tempoh minit ke lima, seorang rakan pasukan memberanikan diri menghidupkan kenderaan untuk memecut ke kem bagi mendapatkan bantuan,” ceritanya lagi.
Ujar Shaari, tidak lama kemudian, satu platun lagi tiba untuk membantu dan pertempuran berlangsung selama setengah jam sebelum komunis melarikan diri.
“Ketika itu saya hanya ingat mati namun semangat untuk bertempur tetap berkobar-kobar. Saya dan rakan-rakan mula membalas tembakan tanpa rasa takut sebaik bantuan tiba,” katanya.
Tambahnya, pertempuran itu mengakibatkan 16 anggota PPH terbunuh dan 17 lagi parah.
Antara yang terbunuh ialah dua sahabat baiknya, Konstabel Mohd. Salleh Bidin dan Konstabel Ismail Amir.
“Itulah pengorbanan kami selaku anggota keselamatan demi mempertahankan negara. Saya harap generasi kini lebih menghargai erti keamanan kerana bukan mudah mahu mengekalkannya,” katanya. -K! ONLINE